IPOH - "Mula-mula rasa takut sikit, tapi lepas cucuk rasa tak sakit pun," ujar Muhamad Farhan Muhammad Nurhazmi Henry selepas menerima suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, hari ini. 

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Rambutan itu antara 496 penerima vaksin yang terdiri daripada anak-anak anggota PGA berusia antara 12 hingga 17 tahun. 
 
Pegawai Kebajikan Briged Utara PGA merangkap Pegawai Penyelaras PPV Klinik Briged Utara, Sub Inspektor Saidu Kenchi Mohamad berkata, mereka yang menerima suntikan vaksin itu terdiri daripada anak-anak anggota serta pegawai yang bertugas di Ibu Pejabat Briged, Batalion 1 PGA, Pusat Latihan PGA dan Pasukan Gerakan Khas (PGK) 69 Komando. 
 
Menurutnya, pemberian suntikan vaksin ini adalah menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja. 
 
"Sehingga hari ini, sejumlah 17,394 dos vaksin satu dan dua telah diberikan kepada orang ramai melalui PPV Klinik Briged Utara. 
 
"Kita dalam peringkat untuk menutup PPV ini pada Oktober jadi kita habiskan (suntikan vaksin) untuk anak-anak dan akan meneruskannya bagi anak-anak yang tertinggal (belum disuntik) kerana ibu bapa mereka yang bertugas di luar kawasan," jelasnya. 
 
Beliau berkata, pihaknya akan menghabiskan semua dos vaksin yang ada sehingga pertengahan Oktober ini sebelum PPV terbabit ditutup.
 
 
Sementara itu anak kepada anggota 69 Komando PGK, Mohamad Akilulkhaier Abdul Malik Aziz, 12, menasihati rakan-rakan seusia supaya mendapatkan suntikan vaksin dengan segera. 
 
"Saya seronok dapat cucuk vaksin hari ini dan tak berasa sakit langsung selepas di cucuk. 
 
"Kepada rakan-rakan yang lain segera dapatkan vaksin kerana kita tahu Covid-19 amat berbahaya dan boleh menyebabkan kematian. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu menghindar penyakit Covid-19," ujar murid tahun enam SK Haji Mahmud Chemor itu. 
 
Seorang lagi penerima vaksin, Raja Nur Ainaa Zakirah Raja Burhanuddin, 12, yang bersekolah di SK Perpaduan sangat gembira kerana telah diberikan suntikan vaksin. 
 
"Saya sangat teruja untuk bertemu rakan-rakan di sekolah. Jadi, bagi mereka yang belum mendapat suntikan vaksin, cepat-cepat dapatkannya," jelas anak bongsu daripada tiga adik beradik itu.