IPOH - Bermula dari Januari hingga 23 Mei tahun ini, Perak mencatatkan sebanyak 454 kes Chikungunya.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, peningkatan sebanyak 441 kes iaitu melebihi 30 kali ganda berbanding tahun 2019 yang hanya 13 sahaja pada tempoh masa yang sama.

"Daerah Kampar mencatatkan bilangan kes Chikungunya tertinggi pada tahun ini, iaitu sebanyak 157 kes, diikuti daerah Larut Matang dan Selama (LMS) dengan 109 kes dan daerah Kinta dengan 99 kes.

"Dalam tempoh yang sama, daerah Kinta menunjukkan peningkatan tertinggi bagi kejadian kes dan wabak Chikungunya", katanya pada satu kenyatan semalam.

Sehingga minggu ke 21 tahun ini, terdapat 15 lokaliti wabak Chikungunya yang  masih aktif dilaporkan di Perak .

Ini termasuk satu lokaliti wabak tidak terkawal (tempoh wabak berlarutan melebihi 14 hari) di daerah Kinta dan 14 lokaliti wabak terkawal (tempoh wabak adalah 14 hari atau kurang) iaitu 12 lokaliti wabak terkawal di daerah Kinta dan dua di daerah Kampar.

Sehingga kini, tiada kematian dilaporkan disebabkan penyakit ini. 

Menurutnya lagi, punca utama perebakan jangkitan Chikungunya adalah kerana indeks pembiakan Aedes yang tinggi di lokaliti terbabit. 

"Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terdapat banyak longgokan sampah di kawasan lot terbiar dan premis kosong yang menyumbang kepada pembiakan nyamuk Aedes.

"Bermula awal tahun sehingga 23 Mei lalu, sebanyak 4,969 bekas positif pembiakan nyamuk Aedes telah ditemui di Perak", katanya.