HPI Bantu Atasi Kekurangan Bekalan Darah
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Kesihatan
- Hits: 841
IPOH - Krisis Pandemik Covid-19 turut mencetuskan penyusutan bekalan darah disebabkan pengurangan penderma darah di seluruh negara.
Berikutan kenyataan yang dikeluarkan dari Pusat Darah Negara, pengurangan ini bertambah kritikal terutamanya semenjak bermulanya Ramadan.
Ketua Eksekutif Hospital Pantai Ipoh (HPI), Chong Siet Fong berkata, sebagai insiatif meningkatkan bekalan darah, HPI bersama Super Group (SG) serta sokongan Unit Pendermaan Darah (Tabung Darah Ipoh), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengadakan kempen sehari menderma darah di HPI.
"Kami terpanggil bagi melangsungkan program 'Save Life Give Blood, Be a Blood Hero', kerana menyedari akan tanggungjawab bersama bagi memastikan bekalan darah mencukupi untuk kegunaan semua pihak.
"Dalam kempen ini kami mensasarkan sebanyak 100 beg darah yang akan disalurkan ke HRPB.
"Sambutan yang diterima amat menggalakkan, ini kerana kesedaran orang ramai terhadap kepentingan bekalan darah bagi menyelamatkan pesakit.
"Sejak penularan Covid-19 kami (HPI) telah mengamalkan norma-norma baharu mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat serta melakukan saringan kepada penderma bagi menjamin keselamatan semua pihak," katanya.
Wakil Jabatan Perubatan Transfusi HRPB, DR M Mala berkata Tabung Darah Ipoh sentiasa beroperasi dan HRPB sentiasa mengalu-alukan orang ramai untuk tampil menderma darah.
"Waktu operasi kami bermula dari jam 8.30 pagi hingga 9.30 malam. Namun begitu orang ramai juga boleh berkunjung ke laman sosial Facebook : Derma Darah Ipoh, untuk mendapat infomasi yang lebih tepat tentang beberapa lokasi pendermaaan darah yang kami jalankan", jelasnya.
Sementara itu, Siet Fong berkata, bersempena Hari Jururawat Sedunia, HPI turut menyumbang 250 kotak makanan kepada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) untuk diedarkan kepada golongan yang memerlukan.
"Jururawat HPI juga turut menyumbang susu tepung untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik melalui Pertubuhan Pengurusan Pusat Jagaan 1 Malaysia Perak", ujarnya.