PUTRAJAYA - Malaysia merekodkan 6,976 kes baharu Covid-19 pada Ahad menjadikannya jumlah tertinggi sejak pandemik itu melanda negara ini. 

Sebelum ini, Malaysia mencatatkan angka harian tertinggi iaitu sebanyak 6,806 kes ialah pada 20 Mei lalu. 
 
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya memaklumkan pertambahan kes tersebut menjadikan jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 di Malaysia mencecah 512,091 kes.
 
Menurutnya, Selangor masih kekal dengan bilangan jangkitan baharu tertinggi iaitu sebanyak 2,235 kes dan menjadikan jumlah kumulatif bagi negeri itu 167,629 kes. 
 
Tambahnya, jumlah kematian juga meningkat kepada 2,248 kes dengan pertambahan 49 kes kematian dilaporkan pada hari ini.
 
Beliau sebelum ini turut merayu kepada rakyat Malaysia supaya melakukan sekatan pergerakan kendiri (self lockdown) selama dua minggu akan datang supaya penularan Covid-19 dapat dikurangkan.
Selain itu, Noor Hisham turut memaklumkan kapasiti katil pesakit Covid-19 di hospital juga telah berada di tahap kritikal.