IPOH- Hospital Pantai secara rasminya telah dilantik sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bermula pada 19 Julai 2021 lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Ipoh, Chong Siet Fong berkata pihaknya turut bekerjasama membantu usaha Kerajaan Negeri Perak bagi memastikan pemberian vaksin kepada masyarakat di negeri ini dapat dilaksanakan dengan lebih pantas.

“Kita telah menerima lantikan menerusi ProtecHealth Corporation Sdn Bhd bagi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai PPV di peringkat negeri Perak.

“Kunjungan hormat Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Mohamad baru-baru ini, secara tidak langsung memberikan semangat dan sokongan kepada anggota barisan hadapan kami dalam membantu meningkatkan proses pemberian vaksin Covid-19. 

“Situasi pandemik Covid-19 khususnya di negeri Perak pada masa ini sangat membimbangkan. Saya berharap kepada semua barisan hadapan agar sentiasa tabah dalam memikul tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya, setiap hari sebanyak 200 suntikan vaksin Covid -19 akan diberi kepada orang ramai disamping pematuhan prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.