TAIPING - Majlis Perbandaran Taiping (MPT) membuka semula Kaunter Bayaran Bersepadu di Aras Bumi, Wisma Perbandaran Taiping serta merta kepada orang awam pada hari Isnin hingga hari Khamis bermula 8.30 pagi hingga 1.00 tengahari & pada hari Jumaat bermula 8.30 pagi hingga 12.15 tengah hari.

Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, meskipun kaunter tersebut dibuka kepada orang ramai, MPT mengamalkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat iaitu hanya pengunjung yang lengkap menerima dua (2) dos vaksin COVID-19 dibenarkan memasuki bangunan MPT.

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus memperkasakan penggunaan digital menerusi pelancanran Gerbang Digital MBI yang dikenali sebagai D-MBI@Ipoh pada 11 Oktober lalu.

Gerbang digital ini menawarkan pelbagai perkhidmatan dalam talian yang boleh dicapai melalui mana-mana telefon pintar, tablet dan komputer dengan menggunakan satu akaun atau satu ID pengguna sahaja.

 

TAMAN DR Seenivasagam sememangnya sinonim dengan Bandaraya Ipoh.

Kehijauan dan keindahan lanskap yang terhasil secara semulajadi sentiasa menggamit setiap mata yang memandang.

Di setiap sudut taman itu, terdapat rimbunan pepohon yang tumbuh secara semulajadi  selain mempunyai 2 buah padang bola serta sebuah padang pelbagai guna, terjaga kebersihannya.

Bagaimanapun, tanpa tenaga kerja yang melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di sini, sudah tentu taman ini tidaklah secantik dan terpelihara seperti ini.

Pengarah Landskap Bandaraya , Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Meor Abdullah Zaidi Meor Razali berkata, usia pokok-pokok di taman itu ada yang telah melebihi 70 tahun.

“Taman berkeluasan 30 ekar ini dibuka pada tahun 1953 dan diberikan nama ‘Coronation Park’ iaitu sempena pertabalan Ratu Elizabeth II di England.

“Sejak awal pembukaannya, ia merupakan taman mini botanikal yang menempatkan koleksi pokok-pokok hutan hujan di Malaya ketika itu,” katanya kepada Peraktastic di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, tasik yang terdapat di dalam taman itu, asalnya adalah aliran air sungai dari Sungai Kinta namun ia terbentuk apabila pihak British pada masa itu menutup laluan sungai ke arah taman itu.

Menurutnya, selepas kemerdekaan Tanah Melayu, taman itu seterusnya ditukar namanya kepada ‘Taman D.R Seenivasagam’ (TDR) iaitu singkatan daripada ‘Darma Raja Seenivasagam’.

Seenivasagam merupakan pemimpin politik yang terkenal pada ketika itu, mewakili Parti Progresif Penduduk (PPP) , yang mana sebelum tahun 1959 ia dikenali sebagai Parti Progresif Perak.

Beliau berketurunan Tamil Ceylon, manakala bapanya merupakan seorang peguambela Ceylon dari Jaffna.

Beliau memenangi Pilihan Raya Umum Malaysia 1959 bagi kawasan Ipoh, Perak (1958-1964).

Taman yang terletak di tengah Bandaraya Ipoh dan terkenal kerana kemudahan riadah turut mempunyai padang permainan, tasik buatan yang dipenuhi dengan ikan, tapak semaian bagi pokok berpasu dan padang permainan trafik kanak-kanak.

Meor Abdullah Zaidi berkata, tarikan kepada pengunjung di TDR lebih kepada ‘Lanskap Warisan’ selain aktiviti riadah bersama keluarga di samping aktiviti bersukan berbekalkan kemudahan yang disediakan oleh pihak MBI di situ.

Dalam pada itu, katanya selaras dengan konsep kehijauan di taman itu, pihaknya turut mewujudkan sebuah kawasan tapak semaian berkonsepkan pertanian dalam bandar.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan sejak tahun 2020, ketika dunia dilanda wabak Covid19, kita dapati orang ramai mulai berminat untuk bercucuk tanam secara kecil-kecilan.

“Tanaman yang biasanya menjadi pilihan untuk para penduduk terutamanya di kawasan taman-taman perumahan adalah sayuran-sayuran dan buah-buahan.

“Oleh itu, kami mengambil inisiatif membina tapak semaian di dalam TDR ini dengan menempatkan beg-beg semaian anak-anak benih pokok buah-buahan dan sayur-sayuran seperti markisa, timun, kacang selain nanas,” jelasnya.

Tambahnya, bagi menambahkan seri tapak semaian itu, para petugas jabatan lanskap, menggunakan bahan-bahan buangan semulajadi seperti buluh untuk dijadikan ‘rumah hijau’ bagi menempatkan benih-benih pokok yang telah disemai.

Pokok-pokok yang telah berbuah, menjadi tarikan kepada para pengunjung dan mereka juga boleh menikmati hasil tanaman di situ selain boleh membeli anak-anak benih yang telah disemai itu.

Ujarnya, pokok-pokok yang terdapat di taman semula jadi ini adalah berkonsepkan 5 faktor, iaitu sebagai makanan, perubatan, pertukangan, kepercayaan dan kecantikan.

"Ada pelbagai spesis tanaman berteraskan lima faktor tersebut, misalnya pokok merbau yang terkenal untuk industri pertukangan."

Selain itu, pengunjung yang ingin bersantai bersama keluarga sambil menikmati makanan yang dibawa dari rumah, terdapat pondok-pondok yang telah dibina di situ, namun perlu membersihkan kawasan tersebut selepas menggunakannya secara percuma.

 

Orang ramai boleh berkunjung ke taman ini, mengikut jadual  berikut  : -

TAMAN DR. SEENIVASAGAM
Hari : Isnin hingga Ahad

Waktu : 8 a.m hingga 6 p.m


TAMAN JEPUN
Hari : Isnin hingga Ahad

Waktuv : 10 a.m hingga 4 p.m

Orang ramai perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negera (MKN) iaitu divaksin sepenuhnya (2 dos) serta memakai pelitup muka sepanjang berada di  taman ini.

 

 

UPAH RM250 bagi setiap rumah, itu nilai yang dibayar Ah Long kepada individu yang sanggup melakukan tugas mereka untuk mengganggu peminjam yang gagal melunaskan hutang mereka.

Berkongsi pengalamannya dengan mStar, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Edwin berkata, nilai tersebut ditawarkan satu sindiket Ah Long di Sabah kepadanya untuk melemparkan cat ke rumah peminjamnya yang gagal membayar hutang.

“Saya WhatsApp sebab nak maki mereka sebab buat kerja-kerja jadi Ah Long tapi sebelum sempat cakap apa-apa mereka tawarkan saya kerja.

“Video-video ini (individu baling cat ke rumah mangsa yang gagal membayar hutang) saya terima daripada Ah Long itu sendiri.

“Mereka menjanjikan RM250 untuk satu rumah, lelaki tersebut suara dia macam warganegara jiran,” katanya.

Jelasnya, bayaran setelah melakukan kerja-kerja tersebut akan dibuat secara dalam talian, iaitu setelah dia menghantar video bukti bahawa kerja-kerja khianat tersebut telah dilakukan.

Menurut petikan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 26 Oktober 1972, penduduk di Batu Pahat, Johor yang sebelumnya keluar berhijrah mencari pekerjaan akibat kemerosotan harga getah beberapa bulan lalu telah kembali disebabkan kenaikan harga getah.

Peristiwa yang berlaku 49 tahun lalu ini menunjukkan bagaimana kenaikan harga getah menyaksikan para pemuda telah beransur-ansur pulang untuk kembali mengerjakan kebun kerana upah yang tinggi.

Dilaporkan, harga getah naik kepada 110.5 sen sekilogram (73 sen sekati) yang mana Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia telah membeli getah mengikut harga pasaran di seluruh negara.

Kenaikan harga getah pada masa itu mengimbas kembali keadaan serupa kira-kira 12 tahun sebelumnya.

Perang Korea yang meletus pada tahun 1950 menyebabkan berlaku lonjakan pemintaan terhadap timah dan getah bagi pembuatan kelengkapan perang.

Peningkatan kedua-dua komoditi tersebut memberi limpahan rezeki kepada penduduk Tanah Melayu yang pada masa itu berhadapan dengan ancaman komunis selain baru pulih daripada kesan Perang Dunia Kedua.

Kenaikan dua eksport utama Tanah Melayu ini juga telah membawa pada peningkatan hasil kerajaan menerusi duti eksport getah dan timah.

Pada tahun 1948, Tanah Melayu mengeluarkan 9789,107 tan getah dan meningkat kepada 1,106,499 tan (1950) dan 1,155,267 (1951).

Harga getah pula adalah 169.55 sepaun di pasaran Singapura pada tahun 1951 iaitu lebih empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Pengeluaran bijih timah pada tahun 1949 pula adalah 55,449 tan sebelum meningkat pada 57,722 (1950) dan 57,453 (1951).

Bagaimana pun, keadaan berubah apabila berakhirnya Perang Korea di mana permintaan untuk komoditi berkenaan merosot menyebabkan harga getah dan timah menurun.

Berdasarkan perangkaan Jabatan Buruh pada masa itu seramai 16,573 pekerja menganggur pada November 1953.

Kebanyakannya adalah pekerja lombong di Perak apabila sebayak 50 lombong bijih timah menghentikan operasi kerana pengurangan permintaan selepas Perang Korea tamat.

Bercakap tentang sejarah perlombongan bijih timah di Perak, kini kapal korek yang masih ada di Perak adalah Kapal Korek Tanjung Tualang 5 (TT5) yang juga merupakan satu-satunya muzium kapal korek di Malaysia.

(TT5) dibina pada tahun 1938 telah menjalani naiktaraf dari enjin wap dengan menggunakan arang batu kepada elektrik sepenuhnya pada tahun 1963.

Kapal korek pertama diperkenalkan di Tanah Melayu ialah pada 1913 oleh Malayan Tin Dredging Limited di Batu Gajah manakala kapal korek baru yang terakhir dibina di Malaysia ialah pada tahun 1985.