IPOH - Murah dan sedap!

Dua perkataan ini sudah cukup untuk menggambarkan menu terbaru Konda Kondi Cafe & Bistro iaitu Nasi Goreng Kampung.

Cuma bermodalkan RM5, pelanggan dapat menikmati nasi goreng dilengkapi sup yang enak dimasak dengan bahan mentah segar serta ditambah ikan bilis dan keropok yang rangup.

Selain Nasi Goreng Kampung, terdapat tiga lagi pilihan nasi goreng iaitu Nasi Goreng Udang, Nasi Goreng Belacan dan Nasi Goreng Petai dengan harga RM7.

Ketiga-tiga nasi goreng ini juga tidak kurang hebatnya sehingga boleh mengimbau kenangan sewaktu berada di kampung halaman.

Pengurusnya, Azril Aryandi Zambri, 33, berkata, menu nasi goreng ini baru diperkenalkan pada pertengahan Januari lalu.

Menurutnya, penambahan menu ini adalah untuk memenuhi citarasa pelanggan yang ingin menikmati makanan yang ringkas dan cepat.

Mengakui perniagaannya merudum sehingga 70 peratus sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), itu tidak mematahkan semangat Azril untuk meneruskan legasi kafe tersebut yang telah beroperasi sejak 2015.

"Sejujurnya, kami tidak memperolehi keuntungan kerana segala hasil jualan digunakan untuk membayar sewa, gaji pekerja, modal bahan mentah dan perkara berkaitan.

"Bagaimanapun, kami tetap memberikan perkhidmatan terbaik untuk pelanggan dengan menyediakan makanan dan minuman yang enak dengan harga berpatutan kepada semua," jelasnya - PERAKTASTIC

INFO

Konda Kondi Cafe & Bistro

Lokasi: 83, Jalan Sultan Idris, Ipoh Perak (berdekatan Gerbang Malam)

Masa Operasi (mengikut syarat yang ditetapkan sepanjang tempoh PKP berlangsung) : 5 petang hingga 12 tengah malam (tutup Selasa)