IPOH - Beberapa lokasi di Pulau Pangkor, Kinta dan Batang Padang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa Ahad ini hingga 21 Ogos depan.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, di Perak lokasi dikenakan PKPD ialah Pulau Pangkor melibatkan Taman Seri Pangkor, Rumah Murah Pangkor, Ladang Kong Heap Lee, Kampung Tengah, Flat Taman Desa Pangkor dan Taman Desa Pangkor.

Menurut beliau, PKPD di Perak turut melibatkan Tapak Bina Horizon, Kinta; Kampung Perlok Baru dan Kampung Perlok di Mukim Sungkai, Batang Padang; serta di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah, Kinta.

Khamis lalu, Hishammuddin mengumumkan sembilan lokaliti di lima negeri termasuk Perak dikenakan PKPD bermula semalam hingga 16 Ogos berikutan peningkatan kes Covid-19.

Selain Kampung Menteri Kuala Sepetang, lokaliti lain ialah dua kilang Comfort Rubber Glove dan Asrama Kilang Comfort Glove di Larut Matang Selama serta Kampung Belum Baru, Hulu Perak.

Kampung Kuala Menteri juga adalah lokasi  makan-makan popular di daerah Matang iaitu gerai Mee Udang Mak Jah di Kuala Sepetang.

Gerai yang terletak di kiri jalan dengan jarak dua kilometer dari pekan Kuala Sepetang ini merupakan tempat persinggahan wajib pengunjung untuk merasai keenakan mi dengan udang bersaiz besar.