IPOH- Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) Perak menganggap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) kepada pengusaha hotel tidak praktikal untuk diguna pakai.

Pengerusinya, Zamari Muhyi berkata pihak MOTAC seharusnya memperincikan permasalahan yang dihadapi oleh para pengusaha sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung SOP yang melibatkan sektor pelancongan.

“Menerusi SOP yang dikeluarkan semalam, pemilik hotel wajib mempamerkan sijil lengkap vaksinasi bagi pekerja hotel sepertimana yang disyaratkan. Namun begitu kebanyakkan kakitangan hotel sekarang masih tidak lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19.

“SOP yang dikeluarkan untuk menjalankan semula sektor perhotelan sememangnya disambut baik, namun bagaimana nasib kakitangan yang belum menerima vaksin. Ini menjadi kekangan kepada pengusaha untuk beroperasi semula.

“Kami berharap jasa baik kerajaan negeri dapat membantu para pengusaha hotel bagi mempercepatkan pemberian vaksin kepada semua kakitangan bertugas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zamari yang juga merangkap Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputra Negeri Perak (PPPBNP) menambah kelumpuhan industri perhotelan dan pelancongan bermula setelah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu bagi menangani krisis pandemik Covid-19 sehingga kini.

“Kesan daripada itu, tiada sumber pendapatan untuk menampung kos penyelenggaraan dan kos hutang yang tinggi dikalangan pengusaha hotel. Paling menyedihkan semakin ramai pengusaha terpaksa gulung tikar.

 “Sekali lagi saya memohon kerajaan negeri khususnya Menteri Besar Perak supaya mempercepatkan pemberian vaksin dalam kalangan petugas kami agar industri ini dapat beroperasi mengikut SOP seperti yang disyaratkan,” ujarnya.