IPOH – Cadangan kerajaan negeri Perak untuk membuka Pulau Pangkor kepada pengunjung terpaksa ditangguhkan berikutan lokasi peranginan tersebut masih belum bersedia bagi Program Destinasi Bebas Covid-19 Fasa 2 Pelan Pemulihan Pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan bersama Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad semalam.

Menurut beliau, ketika ini proses vaksinasi pada penduduk di pulau berkenaan berjalan lancar dan telah pun hampir mencapai 100 peratus.

“Bagaimana pun, Pulau Pangkor masih lagi belum mencapai imuniti kelompok.

“Selewat-lewatnya kita menjangkakan perkara ini boleh dicapai pada akhir September,” katanya pada sidang akhbar Simposium Muzik Ipoh 2021 yang diadakan secara dalam talian di sini sebentar tadi.

Simposoium secara maya yang akan dilangsungkan pada 2 dan 3 Oktober depan dengan tema Muzik Nusantara: Menelusuri Tradisi dan Kontemporari menggabungkan seniman tanahair dan negara jiran Indonesia.

Ia menampilkan nama-nama besar antaranya komposer terkenal tanah air, sifu Datuk M.Nasir dan ahli muzik multi genre Indonesia, Dwiki Dharmawan selain pembentangan symposium oleh 23 karyawans serta penggiat seni ternama.

Acara berprestij ini dianjurkan oleh kerajaan negeri Perak, Port Ipoh dan Gerakan Seni Ipoh selain disokong oleh pihak Cendana (Cultural Economy Development Agency) dan Tourism Perak.

Sebelum itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengumumkan Pulau Pangkor dipilih destinasi bebas Covid-19 bagi fasa kedua dengan jangkaan penduduk pulau tersebut mencapai imuniti kelompok awal bulan depan.

Bagi mencapai hasrat itu, sekurang-kurangnya 8,026 penduduk layak untuk menerima vaksin daripada jumlah keseluruhan 11,500 populasi yang diunjurkan di pulau peranginan itu.

Dalam pada itu kata Nolee Ashilin, kerajaan negeri Perak mengalu-alukan pada mana-mana penggiat seni dan industri kreatif yang ingin mengadakan persembahan berikutan kelonggaran yang diumumkan kerajaan semalam.

Ujarnya, tiada sebarang halangan dikenakan bagi tujuan tersebut tetapi hendaklah dilaksanakan mengikut pematuhan (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita tidak ada mengenakan sebarang syarat tambahan atau mengetatkan SOP, cuma hendaklah ikut apa yang diputuskan kerajaan.

“Jadi jika ada mana-mana penggiat seni dan kreatif ingin mengadakan persembahan di Perak kita sangat alu-alukan,” ujarnya.