IPOH - Bandaraya Ipoh yang selama ini dikenali sebagai bandar perlombongan akan berubah apabila bakal menjadi sebuah bandar pelancongan warisan dengan imej eksklusif yang tersendiri.

Malah, Bandaraya Pelancongan Ipoh ini juga akan menjadi lokasi tumpuan pengunjung dalam dan luar negara sama sepertimana Georgetown di Pulau Pinang dan bandaraya Melaka.

Ini antara inisiatif dan idea yang direncanakan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin bagi membawa dimensi baharu pada bandaraya ini.

Jelas Rumaizi, pelancongan warisan yang akan diketengahkan oleh Ipoh sebahagiannya mengekalkan ciri-ciri sedia ada dan cuma ditambah baik menerusi aspek kemudahan.

Katanya, Ipoh sememangnya mempunyai daya tarikannya dengan ciri-ciri warisan tersendiri yang tiada di negeri lain.

"Mengikut statistik seramai 13.7 juta pelawat telah berkunjung ke Perak sepanjang tahun lalu yang juga merupakan negeri kedua menerima pengunjung paling ramai selepas Selangor.

"Jumlah pengunjung tidak bermalam pula lebih 16 juta. Jika kita andaikan separuh daripada angka ini berkunjung ke Ipoh ia adalah angka yang besar.

"Jadi, dengan penyediaan kemudahan, lokasi tarikan dan prasarana yang baik itu penting untuk menarik pengunjung ke bandaraya Ipoh," katanya pada sesi temubual khas bersama Peraktastic.

Ipoh yang berada dalam jajaran Geopark Lembah Kinta juga menjadikan bandaraya ini sangat berbeza di Malaysia apabila dikelilingi dengan gua-gua batu kapur berusia jutaan tahun.

Untuk itu kata Datuk Bandar, pihaknya telah pun merancang untuk memajukan Tasik Cermin di Gunung Rapat sebagai lokasi pelancongan eko atau Eco Tourism.

"Ya, Tasik Cermin yang pernah tukar sebelum ini akan dibangunkan dengan taman eko di mana ia sama sekali tidak mengganggu keaslian kawasan tersebut.

"Satu daripada dua tasik di situ akan kita majukan. Kita akan ubah tapak kuari yang merosakkan alam sebagai tapak pelancongan.

"Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah pun putuskan tidak memperbaharui lesen kuari tersebut.

"Malah, kita telah melibatkan enam pengusaha kuari dalam projek pembangunan pelancongan di Tasik Cermin," ujar beliau.

Mengulas lanjut kata Rumaizi, bandaraya Ipoh juga perlu berubah daripada bandar perlombongan kepada bandar rendah karbon atau 'low carbon city'.

Jelas, perubahan itu sebenarnya adalah sejajar dengan kemajuan dunia demi menjadikan Ipoh sebagai sebuah bandar sihat sekali gus memberi manfaat pada warga kota.