IPOH-  Saudi Tourism Authority (STA) Asia Tenggara, melangsungkan Bengkel Destinasi bagi memperkenalkan beberapa produk pelancongan Arab Saudi seterusnya merialisasikan sasaran 100 juta pelancong ke negara itu menjelang 2030.

Pengurus Negara Asia Tenggara STA, Shalin Ahmad berkata objektif penganjuran bengkel tersebut memberikan informasi lengkap kepada para agensi pelancongan tentang destinasi umrah ziarah dan  syarat kemasukan ke negara Arab Saudi dengan menggunakan visa pelancong.

Menurutnya, Kerajaan Arab Saudi telah melancarkan visa pelancongan pada September 2019 sebagai usaha mempelbagai sumber ekonomi, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sektor minyak, selaras dengan agenda Wawasan 2030.

“Jadi dengan itu, pihak STA mengambil inisiatif untuk turun padang membantu mempromosikan produk-produk pelancongan dan warisan Arab Saudi ke tiga negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

“Melihat dari penyertaan agensi-agensi pelancongan di ketiga-tiga negeri itu, telah memperlihatkan minat terhadap produk-produk pelancongan yang  diketengahkan seperti Riyadh, Jeddah dan AlUla sebagai gambaran awal mewujudkan penambahan pakej pelancongan mereka.

“Menerusi bengkel ini, kami juga memperkenalkan produk tarikan baharu iaitu aktiviti pelayaran penerokaan Laut Merah bermula  dari pelabuhan Jeddah yang dijadualkan memakan masa perjalanan selama empat hingga tujuh hari”, katanya kepada Peraktastic sejurus berakhir Bengkel Destinasi, di Hotel Weil, Ipoh, di sini baru-baru ini.

Pada masa yang sama, salah seorang peserta bengkel, Pengarah Operasi Alharamainglobal, Mohd Fadzli Azmi berkata menerusi bengkel anjuran STA itu, memberi informasi jelas mengenai tempat-tempat pelancongan yang sedia ada yang boleh dijadikan sebagai ziarah tambahan.

“Kita juga dapat melihat dua perbezaaan yang ketara di antara dua visa iaitu visa umrah dan visa pelancongan. Melalui visa pelancongan membolehkan kita mempelbagaikan lawatan ke lokasi-lokasi pelancongan yang sememangnya selama ini tidak diketahui.

“Ini peluang baik untuk mewujudkan pakej pelancongan baharu ke bumi Arab Saudi yang memfokoskan kepada pasaran bukan muslim. Terdapat tiga tempat iaitu Riyadh, Jeddah dan AlUla mempunyai potensi cerah yang bakal menarik minat khususnya pelancong bukan Islam.

“Sebagai agensi pelancongan, kami perlu didedahkan untuk menerokai ketiga-tiga tempat tersebut sebelum kami dapat ‘menjual’ produk-produk tersebut sebelum menjadikannya pakej pelancongan baharu kami”, katanya.

Sementara itu pula, Pengarah Urusan Aulia travel & Tours Sdn. Bhd., Mohd Sallehuddin Aala, berkata pengajuran bengkel itu membuka peluang baharu kepada agensi pelancongan yang selama ini hanya tertumpu kepada ziarah umrah sahaja.

“Sebelum ini kami tidak dapat pendedahan khusus tentang produk-produk pelancongan lain di Arab Saudi. Saya begitu  kagum dengan keunikan produk pelancongan terutanya di AlUla dan berpendapat ianya harus diketengahkan.

 “Namun kami berharap, pihak STAmengadakan Fam Trip kepada semua agensi pelancongan kerana kami perlu mengetahui dan mengalami sendiri produk pelancongan yang hendak diketengahkan bagi memudahkan tindakan seterusnya”, ujarnya. -PERAKTASTIC.