IPOH - Lebih 500 orang pengunjung terhibur menyaksikan gelagat haiwan-haiwan di Petting Zoo, Lost World Of Tambun (LWOT) yang mula beroperasi pada hari ini.

Kelainan gelagat haiwan-haiwan tersebut yang teruja dengan kehadiran semula pengunjung-pengunjung jelas kelihatan setelah lebih tiga bulan LWOT ditutup disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga 10 Jun lalu.

Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata, kehadiran pengunjung pada hari ini menunjukkan perkembangan yang baik kerana merasakan keselamatan mereka terjaga sepanjang lawatan ke sini.

“Saya juga melihat pengunjung begitu berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan. 

"Malah, mereka yang datang berkeluarga, amat menitikberatkan faktor keselamatan antara satu sama lain.

“Kita menjangkakan pengunjung akan terus meningkat terutamanya pada hari Sabtu dan Ahad.

"Bagaimanapun, kita masih lagi dalam keadaan berwaspada terhadap penularan wabak Covid-19.

"Justeru, kita berharap akan menerima lebih kurang 4,000 pengunjung sehari pada Julai depan," katanya. 

Beliau berkata, walaupun kolam renang dan aktiviti air belum dibuka, pihaknya melihat pengunjung terhibur menyaksikan persembahan secara langsung seperti Tiger and Friends show, crocodile feeding, hippopotamus feeding dan pelbagai lagi. 

Sejumlah 365 haiwan dari 123 spesis haiwan berdaftar terdapat di zoo yang berkeluasan 4.04 hektar daripada luas keseluruhan taman tema tersebut iaitu merangkumi 16.1 hektar.

Selain zoo, pelbagai tarikan menarik seperti permainan, kolam renang dan kolam air panas terdapat di taman tema berkenaan. 

Tawaran tiket istimewa bermula dari RM32 bagi pemegang My Kad dan waktu operasi bermula dari jam 11 pagi hingga 6 petang.