BATU GAJAH - Kira-kira 1,000 keping baucer bernilai RM50 dan 500 keping baucer bernilai RM30 ditawarkan melalui Travel Voucher #TravelPeraklah bakal dinikmati pelancong yang melancong ke Perak.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, pemberian baucer ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri melalui Tourism Perak bagi menggalakkan sektor pelancongan domestik.

"Baucer RM50 disediakan untuk premis penginapan seperti hotel dan homestay. Ia (baucer) boleh dimiliki dengan syarat mestilah menempah penginapan selama dua hari satu malam berserta minimum perbelanjaan sebanyak RM100.

"Manakala bagi baucer bernilai RM30, ia disediakan bagi produk pelancongan terpilih.

"Setakat ini, sebanyak 2,095 buah bilik hotel telah ditempah di sekitar Ipoh, Taiping, Lumut dan Pulau Pangkor.

"Kita berharap selepas pelancaran baucer ini, jumlah pelancong akan bertambah dari semasa ke semasa", katanya pada media selepas Malis Pelancaran Travel Voucher #TravelPeraklah di Kellie's Castle hari ini.

Majlis pelancaran telah disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal turut menyampaikan baucer-baucer tersebut kepada pengusaha-pengusaha hotel di sekitar bandaraya Ipoh.