IPOH - Bagi memantapkan dan mengembalikan keyakinan pelancong, Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) telah menggariskan amalan baik sepanjang tempoh pasca Covid-19 supaya dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Pengerusi MyBHA, Zamari Muhyi berkata, Panel Jawatan Pematuhan Amalan Terbaik Dalam Pengendalian Produk Pelancongan Covid-19 Perak telah dipersetujui oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Menurutnya, objektif utama adalah untuk memfokuskan industri pelancongan supaya kembali beroperasi dengan lancar dan selamat kepada pelancong.

“Ini adalah inisiatif bersama Tourism Perak, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pemain industri pelancongan dalam memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi mengikuti panduan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

“Kesemua panel akan membuat pemeriksaan rapi di setiap hotel, homestay dan kampungstay. Untuk permulaan kami akan memeriksa sepuluh hotel di sekitar bandaraya Ipoh.

“Sekiranya penilaian ini lulus, satu sijil pengesahan akan diberi kepada pengusaha sebagai bukti ianya selamat dikunjungi pelancong”, katanya kepada Peraktastic selepas Majlis Taklimat Panel Jawatakuasa Pematuhan di Lost World of Tambun, semalam.

Hadir sama Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nor Nurmalis Musa, Presiden Persatuan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Mohammad Odzman Abdul Kadir, Naib Pengerusi Persatuan Hotel dan Nurul Nuzairi Mohd Azahari. 

Menurutnya, pematuhan amalan baik ini akan berkuatkuasa 1 Julai ini.

Beliau turut mengingatkan kepada semua pengusaha produk pelancongan agar memastikan semua SOP di ikuti dengan sempurna.

“Sekiranya didapati pengusaha gagal menepati syarat-syarat, mereka akan dinasihatkan seterusnya pemeriksaan akan dilakukan sekali lagi, "ujarnya.