The Gravityz: Cabaran laluan udara melengkung pertama di dunia!
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Pelancongan
- Hits: 1174
Pernahkah anda terfikir untuk mencabar diri sendiri dengan melakukan sesuatu di luar ruang keselesaan anda?
The Gravityz, laluan udara melengkung pertama di dunia ini merupakan antara aktiviti sukan altitud tinggi terbaik di rantau Asean. Inilah tarikan utama The Top, Komtar, Penang yang membenarkan pengunjung menikmati pemandangan Pulau Pinang 360 darjahseumpama pandangan burung helang yang terbang bebas di ruang angkasa.
Meskipun anda dilengkapi dengan peralatan keselamatan yang terjamin, namun perasaan gusar, kecut perut dan jantung bagai nak luruh pasti terasa sepanjang lebih kurang 30 minit berjalan di lengkungan dinding menara Komtar pada ketinggian 239 meter dari paras laut (65 tingkat).
Peluang penulis merasai sendiri cabaran The Gravityz, namun bukanlah satu pengalaman baharu. Mungkin pengalaman sebagai pendaki gunung sebelum ini dapat mengatasi rasa gayat dan mengembalikan keyakinan diri yang hilang seketika.
Beberapa syarat yang perlu dipatuhi sebelum anda dipakaikan dengan peralatan keselamatan. Berat badan haruslah tidak melebihi 70 kilogram, memiliki ketinggian badan lebih 100 centimeter dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi atau sakit jantung.
Semasa berjalan di atas laluan kami dikawal selia oleh seorang jurupandu dan diarahkan melakukan beberapa aksi ekstrem seperti mendepakan tangan dan berdiri sebelah kaki. Perasaan cemas kembali menguasi diri, namun ia hanya seketika.
Begitu juga kami diberi peluang berjalan di Rainbow Skywalk di tingkat 68. Perasaan gayat kembali menguasai diri apabila kami mula meletakkan kaki ke permukaan kaca, terasa bagaikan terapung di udara.
The Top, Komtar, terletak di puncak tertinggi di Georgetown Penang, merupakan sebuah syarikat taman tema ternama negara. Selain menawarkan pemandangan 360 darjah yang memukau, di sini turut menyajikan pelbagai hiburan dan tarikan buat seisi keluarga.
Alamat: 1, Jln Penang, George Town, 10000 George Town, Pulau Pinang.
Laman sesawang: https://thetop.com.my/.