BANGKOK – Industri pelancongan Thailand dijangka mengalami pemulihan perlahan dengan menyaksikan jumlah pelancong kira-kira lapan juta orang iaitu kira-kira 80 peratus merosot berbanding tahun lalu disebabkan wabak Covid-19.

Sebelum ini, pihak industri menjangkakan sektor pelancongan negara itu hanya akan pulih pada tahun hadapan.

Pada tahun lalu, ia merekodkan kehadiran seramai 39.8 juta pelancong asing dengan menyumbang kira-kira 11 peratus kepada pendapatan negara.

Pengerusi Majlis Pelancongan Thailand, Chairat Trirattanajarasporn berkata, pihaknya menjangkakan kira-kira satu pertiga daripada pengusaha pelancongan di negara itu akan gulung tikar pada separuh kedua tahun ini.

“Impak Covid-19 akan menjadi lebih serius pada suku ketiga tahun ini selepas kebanyakan pengusaha cuba mengurangkan kos dengan membuang pekerja namun keadaan masih tidak berubah.

“Kita menjangkakan dalam tempoh tiga bulan hampir 30 peratus perniagaan berkaitan pelancongan di negara ini terpaksa ditutup terus,” katanya yang dipetik menerusi laman berita antarabangsa, Reuters.

Bermula minggu ini, Bangkok telah menarik balik larangan penerbangan antarabangsa tetapi hanya kepada penumpang terpilih sahaja.

Menurutnya, terdapat pengendali yang telah mula menjual premis mereka seperti hotel, pusat peranginan, restoran dan kedai cenderamata kepada pelabur.

Chairat berkata, Majlis Pelancongan Thailand meramalkan pendapatan daripada pelancong asing pada 2020 akan jatuh mendadak daripada 2.2 trilion Baht tahun lalu kepada 600 bilion Baht.