Bagi pengunjung yang menginap di Weil Hotel, Ipoh, pengalaman bersantai di The Deck Gastrobar yang terletak di puncak bangunan pasti menjadi pilihan utama.

Beroperasi setiap hari kecuali Ahad dari jam 4.00 petang hingga 1.00 pagi, kafe ini mampu memuatkan antara 80 hingga 100 orang dalam satu masa.

Menawarkan suasana eksklusif, pengunjung yang ingin menikmati pemandangan bandar raya Ipoh boleh memilih untuk bersantai di The Cabbanas, ruang terbuka yang memberikan pengalaman lebih santai terutama ketika matahari terbenam.

Keistimewaan utama ruang ini ialah pemandangannya yang menghadap kolam infiniti tenang di bawah langit terbuka, mencipta suasana yang menenangkan dan memukau.

Dengan lebih 43 menu makanan dan minuman, The Deck Gastrobar menyajikan hidangan fusian Asia dan Barat yang diolah dengan kreativiti oleh barisan chef berpengalaman.

Antara pilihan menu utama yang menjadi kegemaran ramai ialah Tandoori Chicken dan Cheese Stuffed Chicken Sanderman, manakala bagi pencinta pembuka selera, Mango and Tomato Bruschetta, Cream of Wild Mushroom Soup, Cheesy Lamb Kibbeh, serta Dreamy Butternut Squash Soup pasti menggamit selera.

Pelbagai pilihan minuman turut disediakan, antaranya Virgin Mojito,Shirley Temple dan Ginger Ale yang menjadi tarikan tersendiri.

Selain menjadi lokasi santai menikmati hidangan berkualiti dalam suasana mewah, The Deck Gastrobar turut menawarkan perkhidmatan tempahan ruang bagi majlis kecil atau parti persendirian, menjadikannya lokasi ideal untuk meraikan detik istimewa dalam suasana eksklusif.

Ternyatalah, keunikan dan keistimewaan The Deck Gastrobar bukan sekadar menjanjikan sajian lazat, tetapi turut menghadiahkan pengalaman santai dalam suasana mewah yang menenangkan! -PERAKTASTIC-