Sini-Drive Pawagam Pandu Lalu Pertama di Malaysia
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Pelancongan
- Hits: 1307
IPOH - Perak muncul sebagai negeri pertama di Malaysia yang menyediakan Pawagam Pandu Lalu (Sini-Drive) dan memulakan tayangan pertamanya malam tadi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Sini-Drive memberi peluang kepada orang ramai untuk keluar bersama keluarga dalam situasi kekal selamat dan bebas dari jangkitan virus Covid-19.
"Pawagam pandu lalu adalah idea bertepatan dengan kehendak norma baharu bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pengunjung terjamin.
"Sini-Drive berpotensi menarik lebih ramai pengunjung ke negeri Perak khususnya ke Bandar Meru Raya dan mampu menjana ekonomi setempat sejajar dengan kempen #TravelPerakLah yang dilancarkan baru-baru ini", jelasnya.
Beliau berkata demikian, pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sini-Drive, di Bandar Meru Raya di sini, malam tadi.
Hadir sama Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Pawagam Sini-Drive terletak bersebelahan Bulatan Aman Jaya itu memuatkan 70 petak parkir kereta dan beroperasi setiap hari kecuali hari Isnin.
Ketua Eksekutif Perak Corporation Berhad, Zainal Iskandar Ismail berkata, orang ramai boleh membuat tempahan tiket secara atas talian di laman sesawang rasmi iaitu sini-drive.com.my.
"Melalui laman sesawang tersebut, orang ramai boleh memilih kadar tiket yang ditawarkan sama ada RM36, RM40 atau RM42 termasuk makanan dan minuman.
"Kita menyediakan layar skrin digital bersaiz 6 x 18 meter. Penonton boleh menikmati sistem audio di kenderaan sendiri melalui frekuensi 90.0 MHz," katanya.