Batu Gajah - “Dark Tourism @ Kellie’s Castle” bukan sekadar mencipta satu pengalaman baru malah ianya membangkitkan ‘aura’ yang sukar diceritakan...”, ujar Pengarah Urusan Kellie’s Castle, Zamari Muhyi, ketika ditemubual dimajlis perasmian Dark tourism @ Kellie’s Castle, Batu Gajah, malam tadi.

Dark Tourism @ Kellie’s Castle, Batu Gajah kini muncul semula setelah dua siri sebelum ini mendapat sambutan di luar dugaan dari pelancong dalam dan luar negara.

“Kali ini kita ingin membawa pengunjung menikmati keunikan istana Kellie’s pada  sebelah malam. Penataan cahaya yang diserasikan dengan bangunan lagenda ini mengindahkan lagi keunikan istana ini disamping menikmati panorama indah bersama kesegaran udara malam di puncak istana ini.

“Jumlah pengunjung dihadkan kepada 15 orang untuk satu sesi lawatan yang diketuai seorang juru pandu. Lawatan dibuka pada jam 8.00 sehingga 12.00 tengah malam pada setiap Jumaat dan Sabtu sehingga 31 Oktober ini.

“Pengunjung berumur 12 tahun ke atas sahaja dibenarkan masuk. Warga emas atau individu yang mempunyai masalah kesihatan tidak digalakkan menyertai lawatan ini. Tiket masuk berharga RM10.00 bagi pemegang Mykad dan RM20.00 bagi pelawat luar negara”, katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatan Kuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Dato' Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata Dark Tourism @ Kellie’s Castle ini membuka peluang kepada pelancong untuk menikmati serta mengetahui rahsia di sebalik keunikan istana yang meninggalkan 1001 penceritaan.

“Kellies Castle telah dipilih sebagai salah satu produk Dark Tourism oleh Tourism Malaysia bersempena dengan Program Dream To Travel PATA pada 1 Julai 2020 lalu.

“Ianya dipersembahkan secara ‘live stream’ selama 35 minit dengan kerjasama Urusetia PATA di Bangkok dan Tourism Malaysia di Putrajaya. Ini merupakan satu platform terbaik dalam mempromosikan produk pelancongan Negeri Perak kepersada antarabangsa”, katanya yang turut merasmikan Dark Tourism @ Kellie’s Castle, Batu Gajah, malam tadi.