Ipoh- Presiden Persatuan Pelancongan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Odzman Abdul Kadir mahukan ‘wall of fame’ diwujudkan sebagai tarikan baru di badaraya Ipoh.

Menurutnya keistimewaan bandaraya Ipoh bukan sahaja mempunyai produk warisan tetapi terkenal dengan tokoh-tokoh termasyhur di seluruh dunia.

“Saya berharap pihak MBI mahupun Kerajaan Negeri dapat membangunkan monumen sejarah atau ‘wall of fame’ seperti di Hollywood yang memaparkan nama-nama besar anak Perak seperti Datuk Lat, Datuk Michelle Yeoh dan ramai lagi.

“Saya percaya dengan adanya monumen ini bandaraya Ipoh akan lebih terkenal dan secara tidak langsung kita menghargai jasa-jasa besar yang telah disumbangkan oleh tokoh-tokoh anak kelahiran negeri Perak yang telah mengharumkan nama negara di persada dunia”, katanya dalam ucapannya di program PTA Walkabout Heritage Trail with Datuk Bandar, di sini, hari ini. 

Program anjuran Persatuan Pelancongan Negeri Perak (PTA) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Tourism Perak (TP) ini, melibatkan lebih kurang 50 orang yang terdiri dari perbagai agensi kerajaan, NGO dan pemain-pemain industri pelancongan negeri Perak.

Sementara itu Dato Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi berkata menjelang tahun 2025 Bandaraya Ipoh bakal menjadi antara bandaraya perlancongan terkenal dengan mengenengahkan pelbagai produk pelancongan yang mampu menarik perhatian pengunjung.

“Bandaraya Ipoh telah bermula penempatannya sejak tahun 1541 dan ianya terletak dikelilingi kawasan bukit batu kapur yang berusia lebih kurang 400 juta tahun.

“Melalui program PTA Walkabout Heritage Trail, ianya memberi banyak informasi yang boleh diketengahkan bagi meningkatkan industri pelancongan melalui produk warisan yang menjadi aset utama bandaraya Ipoh.

“Kita akan memperbanyakkan lagi lukisan-lukisan mural dan akan membaik pulih bangunan-bangunan dan kawasan-kawasan sepanjang jejak warisan di bandaraya ini.

Namun begitu setiap struktur asas warisan akan terpelihara tanpa menjejaskan indentiti warisan itu sendiri”, katanya.

Hadir sama Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa dan Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin.