IPOH – Satu lagi tarikan pelancongan baharu bakal dibuka di bandar ini apabila kawasan kaki Gunung Matsoorat berdekatan Gunung Lang di sini dimajukan bagi Projek Pertanian Bandar ‘Urban Farming’ oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).

Cadangan yang akan dilaksanakan itu diterajui oleh PPPNP bagi projek pertanian dengan kerjasama pihak Rymba Management menawarkan pakej aktiviti lasak terkawal.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, dengan aktiviti ini ia dapat menjadikan kaki Gunung Masoorat itu sebagai salah satu tempat ekopelancongan yang boleh menarik pengunjung di samping tarikan sedia ada di Gunung Lang.

“Selain itu, usahasama dengan pihak Green Valley Agriculture turut dilakukan melalui cadangan tanaman didroponik dan fertegasi yang akan dilaksanakan di kawasan kaki gunung ini.

“Pendekatan projek pertanian bandar ini juga dapat memupuk kesedaran dan minat terhadap kepentingan pertanian sebagai penyumbang terus kepada kesejahteraan serta menyokong usaha kerajaan di dalam menjamin kualiti dan sekuriti makanan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bagi Projek Pertanian Bandar ‘Urban Farming’ di kaki Gunung Masoorat di sini hari ini.

MOU dimeterai MBI yang diwakili Rumaizi dengan Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya yang melibatkan kolaborasi antara PPPNP dengan syarikat Green Valley Agriculture dan Rymba Management.

Terdapat lima kawasan di kaki gunung yang telah diluluskan dalam kerajaan negeri Perak bagi pelaksanaan projek pertanian bandar.

Antaranya ialah di Gunung Rapat, Gunung Panjang, Gunung Laiang dan Gunung Gunting.

Kaki Gunung Masoorat merupakan salah satu daripada kajian pertama projek rintis  bagi projek pertanian bandar dengan keluasan keseluruhan kira-kira 17.663 ekar yang terletak berdekatan Kampung Kepayang dan Gunung Lang.

Sementara itu, Yahanis memberitahu, projek tersebut yang telah pun dimulakan melibatkan pelaburan awal berjumlah RM1 juta melibatkan pembelian alatan dan jentera pertanian secara berperingkat-peringkat.

Katanya, pelaksanaan cadangan itu bermula tahun lalu membabitkan beberapa siri tinjauan yang dilakukan bersama pihak Jabatan Mineral dan Geosains negeri Perak, Jabatan Perhutanan negeri dan beberapa agensi lain.

“Apabila dibuka kelak, pengunjung bukan sahaja boleh merasai suasana perkampungan agro yang mana konsep pembangunan itu nanti adalah sebagai hab pelancongan pertanian, warisan dan aktiviti lasak,” ujarnya.