IPOH – Walaupun Ipoh pesat membangun seiring arus kemodenan, namun bangunan-bangunan lama bersejarah yang menjadi mercu tanda di bandaraya ini masih kekal terpelihara.

Salah satu daripada bangunan tersebut adalah Menara Jam Peringatan Birch yang tersergam indah walaupun sudah berusia lebih satu abad.

Lokasinya yang berhadapan dengan Masjid Negeri Perak itu terletak dalam satu lingkungan kawasan bersejarah di bandaraya Ipoh atau lebih dikenali sebagai Jejak Warisan (Heritage Trail).

Bangunan peninggalan zaman British ini telah dibaik pulih oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan sering menjadi lokasi pilihan pelancong yang berkunjung ke negeri Perak.

Menurut sejarah, menara jam ini dibina pada 1909 bagi memperingati ulang tahun kematian Residen British Pertama Perak, JWW Birch yang telah dibunuh Lela Pandak Lam atau lebih dikenali sebagai Datuk Maharaja Lela di Pasir Salak pada tahun 1875.

Jam yang dibina dengan kos 25,000 pound sterling ini dirasmikan anak kepada JWW Birch iaitu Sir Ernest Woodford Birch, Residen British Perak kelapan pada ketika itu.

Jika dilihat di empat penjuru atas jam berkenaan, terdapat empat patung terakota yang menggambarkan empat prinsip pentadbiran British iaitu kesetiaan, keadilan, kesabaran dan ketabahan.

Selain itu, terdapat lukisan menggambarkan ikon pembangun tamadun terkenal di seluruh dunia pada keempat-empat sisi jam berkenaan.

Justeru, bagi mengekalkan menara jam tersebut terus berdiri gah di situ, MBI telah melantik kontraktor berpengalaman bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.

Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan (Kerja dan Bangunan) MBI, Arif Mohd Zainudin berkata, jam itu mula diselenggara oleh kerajaan tempatan sejak ia dibina.

Menurutnya, jam tersebut diselenggara secara berkala setiap bulan kerana menggunakan sistem mekanikal dan perlu dikunci setiap lima hari sekali untuk memastikan ia terus berfungsi.

“MBI memperuntukkan kos penyelenggaraan jam ini secara kontrak tahunan yang bernilai RM49,900 setahun.

“Bagaimanapun, kos untuk membaik pulih bergantung kepada keperluan kerosakan seperti mengecat semula menara tersebut dengan kos bernilai RM15,000.00 serta menukar peralatan mekanikal.

“Sehubungan itu, MBI akan terus menjalankan kerja-kerja selenggara serta membaik pulih dari semasa ke semasa bagi mengekalkan nilai sejarah untuk tatapan generasi masa hadapan,” katanya kepada Peraktastic.