IPOH – Kerinduan pengunjung Zoo Taiping dan Safari Malam (Zoo Taiping) untuk melihat aksi hidupan liar di situ terubat apabila pihak zoo mengadakan sesi langsung secara dalam talian menerusi laman Facebook dan Instagram rasminya pada Ahad lalu.

Lebih menarik, sesi langsung yang dinamakan sebagai ‘Online Now, Onsite Later’ disiarkan secara percuma dan boleh dilayari pada bila-bila masa.

Pada sesi ini, pengunjung berpeluang menyaksikan gelagat buaya tembaga atau nama sainfitiknya estuarine crocodiles secara lansung dan mendengar sesi penerangan oleh Pegawai Veterinar Zoo Taiping, Dr Muhamad Ridhwan Affendi.

Menurutnya, buaya tembaga antara tiga spesis reptilia itu yang dipelihara zoo tersebut selain buaya jejulung dan buaya Afrika serta dikategorikan sebagai antara buaya yang boleh mencapai saiz terbesar di dunia.

“Buaya tembaga adalah habitat yang tinggal di kawasan muara sungai berdekatan dengan laut serta boleh membesar sehingga panjang 6.3 meter dengan berat kira-kira 600 kilogram (kg) bagi jantan.

“Spesis betinanya pula kecil iaitu panjang kira-kira tiga meter dan berat sehingga 300kg. Corak warna pada badan buaya tembaga pula berbeza-beza iaitu hitam, kuning atau putih sebagai penyamaran mengikut sungai atau kawasan perairan habitatnya,” jelasnya.

Muhamad Ridhwan memberitahu, hayat seekor buaya tembaga pula boleh mencapai sehingga 70 tahun manakala bagi reptilia dalam kurungan pula bergantung kepada persekitaran haiwan tersebut.

“Bagi penjagaan buaya ini di Zoo Taiping, kita mengekalkan pameran secara semulajadi  dengan pokok-pokok dan air kerana reptilia ini memerlukan kawasan luas.

“Ini kerana buaya memerlukan kawasan atau ‘territory’. Buaya pula diberi makan hanya dua kali sebulan kerana ia perlu masa yang lama untuk menghadam makanan,” katanya.

Pada sesi itu juga turut diadakan lawatan maya ke kawasan pameran buaya tembaga serta sesi memberi makan oleh salah seorang penjaga buaya, Roslan Ismail.

Sehingga jam 1 petang tadi, sesi langsung zoo maya dalam talian ini telah ditonton  kira-kira 38,000 pelayar selain dikongsi oleh 13,000 yang lain. 

Ramai dalam kalangan pelayar memuji inisiatif Zoo Taiping mengadakan sesi tersebut terutama sebagai instrumen pendidikan kepada anak-anak tentang hidupan liar.

Ada juga pelayar yang mencadangkan agar sesi tersebut pada masa hadapan diadakan secara dwibahasa Melayu dan Bahasa Inggeris supaya memudahkan penonton daripada pelbagai latar belakang.