PUTRAJAYA - Semua pihak diseru supaya bersepakat menyelamatkan ‘Keluarga Malaysia’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya sulungnya berkata, beliau menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa itu sifatnya lebih inklusif.

“Ia merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. Di mana, kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua.

"Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

“Kita adalah sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri, sama ada anak muda, mahupun yang telah berusia.

"Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menginsafi kepayahan, kesengsaraan dan keperitan hidup yang mencengkam semua.

“Ada yang hilang mata pencarian, ada pula yang putus bekalan makanan, dan bukan sedikit yang telah dibuang kerja.

“Saya memahami keringat dan nilai sesuap nasi, kerana saya lahir dan membesar dalam keluarga anak petani yang susah.

"Oleh sebab itu, saya sangat menghayati kepayahan dan keperitan hidup rakyat pada masa negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada wabak ini,” katanya.

Kata Perdana Menteri, beliau juga akan memastikan tiada rakyat tercicir daripada sebarang agenda mengembalikan kesejahteraan warganya serta mengurangkan kesan ekonomi berpanjangan.

“Usaha kita tidak akan terhenti setakat ini. Kita akan terus bekerja bersama rakyat untuk membangunkan strategi baharu ekonomi bagi melaksanakan beberapa perubahan mendasar.

“Seiring usaha mencapai objektif dan fokus tersebut, penglibatan anak muda amat diperlukan. Untuk itu, saya pastikan suara anak muda didengari dan diberikan tumpuan dalam kerajaan ini.

"Kepada anak muda di luar sana, jangan risau, penglibatan anda semua amat dihargai dan saya mengharapkan anda bersama dengan kerajaan ini untuk menjayakan agenda besar pemulihan negara,” katanya.