KUALA LUMPUR - Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mencapai satu lagi penanda aras apabila tersenarai dalam kelompok universiti terbaik dunia Times Higher Education (THE) untuk dua tahun berturut-turut.

UniKL berada pada kedudukan 1,200+ antara 1,662 universiti di seluruh dunia yang disenaraikan.

Selain UniKL, 17 buah universiti Malaysia yang lain termasuk institusi swasta Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Multimedia dan Universiti Tunku Abdul Rahman.

Penyenaraian UniKL dalam kedudukan THE dan QS ini membuktikan kemampuan menjadi antara universiti terbaik di negara ini.

UniKL merupakan sebuah universiti teknikal keusahawanan terbesar di Malaysia yang dikelolakan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Ini adalah pencapaian yang membanggakan memandangkan UniKL ditubuhkan daripada beberapa buah institut teknikal dan vokasional milik MARA yang mengkhusus pada pelbagai bidang teknologi mengikut keperluan industri. UniKL mencapai status sebagai sebuah universiti pada tahun 2002.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Datuk Dr Roziah Omar, UniKL kini sedang berusaha untuk meningkatkan reputasinya di peringat antarabangsa melalui kolaborasi dengan universiti dan organisasi ternama dunia.Ia termasuk meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa.

"Di bawah pelan strategiknya, UniKL mensasarkan untuk berada di kedudukan 600 teratas dalam senarai universiti terbaik dunia menjelang tahun 2025.

"Senarai universiti terbaik dunia THE juga memperlihatkan bahawa institusi pendidikan tinggi di Asia secara perlahan-lahan telah mengorak langkah untuk mengatasi universiti Baral," ujarnya.

Selain daripada menjadi universiti termuda Malaysia di dalam senarai tersebut, UniKL juga mengekalkan falsafah pendidikan TVET peringkat tinggi (Higher TVET) dan pembelajaran secara praktikal.

Kejayaan UniKL disenaraikan di dalam kedudukan universiti terbaik dunia ini merupakan hasil dari pelan transformasi WE4ASIA yang dilancarkan pada tahun 2014.

Ianya disokong pula dengan dedikasi dan usaha berterusan warga UniKL dan komunitinya serta sokongan dari pihak berkepentingan, khususnya KPLB dan MARA.

Ini telah membolehkan UniKL unggul dalam 13 penunjuk prestasi yang mengukur pencapaian dalam empat bidang utama iaitu pengajaran, penyelidikan, pemindahan pengetahuan dan reputasi di peringkat antarabangsa.