IPOH - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik cadangan Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang mewakili orang kurang upaya (OKU) di Dewan Negara dalam memperkasakan golongan terbabit di dalam sukan.
 
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya akan memperhalusi cadangan berkenaan dan akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran supaya perkara itu menjadi kenyataan. 
 
"Justeru, kita sedia mempertimbangkan dan akan memperhalusi cadangan pembinaan sekolah sukan pertama bagi golongan OKU di negara ini seperti yang dicadangkan Senator Datuk Ras Adiba," ujarnya. 
 
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Latihan Memanah Negeri Perak di padang Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak di sini, hari ini. 
 
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed.
 
Lawatan itu bertujuan untuk meninjau keadaan dan keperluan bagi atlet para di Perak dalam membuat persediaan sebelum memulakan program latihan menjelang pembukaan sepenuhnya bagi sektor sukan dan rekreasi. 
 
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Faizal, berharap pembinaan sekolah sukan itu dapat direalisasikan supaya dapat memberi inisiatif yang lebih baik kepada sukan para untuk terus maju memandangkan golongan terbabit mampu mengharumkan nama negara dipersada dunia.
 
Sebelum ini, Ras Adiba dalam satu kenyataan kepada media menggesa kerajaan untuk melipatgandakan usaha memperkasa serta membangunkan OKU dalam bidang sukan selaras dengan komitmen dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
 
Beliau turut menggariskan beberapa cadangan kepada KBS untuk memastikan golongan berkenaan terus cemerlang di dalam sukan dan antranya cadangannya adalah etlik elit pekak diterima masuk ke program Majlis Sukan Negara (MSN).
 
Antara cadangan yang turut diketengahkan termasuklah pembinaan sekolah sukan pertama bagi OKU, penyediaan kemudahan sokongan seperti fisioterapi dan sokongan dana, memastikan fasiliti dan kemudahan mesra OKU di stadium, kompleks sukan dan padang serta memberi peluang atlet para yang tidak lagi beraksi menjadi jurulatih.