PUTRAJAYA – Berita gembira pada penerima Pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa 3 dan rayuan BPR apabila bayaran akan dikreditkan kepada penerima mulai Selasa ini.

Bayaran akan dimasukkan terus ke akaun penerima secara berperingkat-peringkat dan dijangka selesai Khamis depan.

Ia melibatkan peruntukan berjumlah RM2.82 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran itu memberi manfaat pada 3.6 juta penerima sedia ada kategori isi rumah dan pemohon rayuan BPR yang telah diluluskan.

Katanya, setiap penerima bakal memperoleh sehingga RM1,400 manakala penerima bayaran rayuan BPR pula RM2,300.

"Ini termasuk bayaran BPR tambahan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) bernilai sehingga RM500 bagi setiap penerima.

“Ia mengikut kategori kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah dan bilangan anak,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ismail Sabri berkata, pembayaran fasa 3 tersebut adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diterima penerima BPR dan rayuan BPR untuk meringankan beban mereka.

Penerangan lanjut berhubung pembayaran BPR Fasa 3 ini akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan.

Para penerima boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BPR iaitu https://bpr.hasil.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.