PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan murid  kelas peperiksaan awam beroperasi tanpa penggiliran mulai 8 November ini.

Menteri Kanan Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata kebenaran itu berpandu kepada institusi pendidikan di bawah KPM yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus.

"Keputusan ini dibuat hasil perbincangan bersama-sama KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan mengambil kira kadar vaksinasi dalam kalangan murid kelas peperiksaan.

"Pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa hadir tanpa penggiliran bagi negeri Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan negeri Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan VWilayah Persekutuan Putrajaya) akan bermula pada 8 November ini.

"Pengoperasian bagi negeri Kumpulan A juga bermula pada 8 November kerana 7 November adalah cuti tambahan sempena perayaan Deepavali yang diperuntukkan dalam Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021 bagi sekolah bawah KPM, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi kelas peperiksaan awam dan antarabangsa melibatkan kehadiran murid kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE 0-Level, A-Level, Australia Higher
School Certificate dan 1BD) dan murid kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.

Bagi institusi pendidikan bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa seperti di Lampiran 1 dan 2, pengoperasian kekal secara penggiliran.

Walau bagaimanapun, katanya murid Prauniversiti Semester 3 di Sekolah Sukan Malaysia, murid kelas peperiksaan awam di sekolah berasrama sepenuhnya dan murid kelas peperiksaan antarabangsa (1GcSE O- Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) kekal hadir tanpa penggiliran.

"KPM akan terus memantau dan mengemas kini senarai institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa.

"Senarai terkini institusi pendidikan bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus akan dikeluarkan pada setiap hari Rabu.

"Justeru, mana-mana institusi pendidikan yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih akan dikeluarkan daripada senarai tersebut dan institusi boleh mula beroperasi tanpa penggiliran pada hari Ahad/lsnin minggu berikutnya.

"Institusi pendidikan bawah KPM dalam kenyataan media ini turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat," ujarnya.

KPM menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.
KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.