KPM tangguh pembukaan sesi persekolahan sehingga 9 Januari
- Details
- Sheqal Danish
- Nasional
- Hits: 581
PUTARAJAYA – Sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 yang sepatutnya bermula 2 Januari dan 3 Januari 2022 telah ditangguhkan seminggu sepertimana diumumkan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin hari ini.
Beliau dalam satu kenyataan memberitahu, Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan perubahan tarikh tersebut susulan kejadian musibah banjir yang memberi kesan kepada rakyat khususnya ibu bapa dan golongan pelajar.
Menurut beliau, mengambil kira situasi banjir ketika ini, sesi persekolahan akan bermula pada 9 Januari dan 10 Januari bagi kumpulan A dan kumpulan B.
“KPM amat cakna dan prihatin terhadap kebajikan guru, murid dan ibu bapa yang terkesan dengan situasi banjir semasa.
“Kita fahami bahawa mereka memerlukan masa untuk kembali menyiapkan keperluan sebelum dapat memulakan sesi persekolahan,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Negeri Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Manakala kumpulan B pula iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
KPM sebelum ini mengumumkan Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 akan bermula pada 2 Januari 2022 hingga 20 Mac 2022 bagi sekolah di negeri Kumpulan A dan 3 Januari hingga 20 Mac 2022 bagi Kumpulan B.
Manakala kalendar akademik bagi Sesi Persekolahan 2022/2023 akan bermula 21 Mac 2022 hingga 11 dan 12 Mac 2023.