GUA MUSANG – Kehilangan seorang remaja lelaki ketika pergi membuang air kecil di kawasan semak berhampiran rumahnya di Kampyng Pasir Linggi , kelmarin meresahkan keluarganya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh, Kuala Krai, Muhammad Iznun Al Azim Mahadi, 13, dikatakan  keluar dari rumah kira-kira pukul 9 malam sebelum ibunya menyedari remaja itu tidak pulang kira-kira pukul 3 pagi semalam.

Beliau berkata, mangsa dipercayai melepak bersama dua rakan baiknya di hadapan rumah sambil bermain telefon bimbit.

“Mangsa yang mesra dengan panggilan Azim meminta izin ibunya untuk keluar bermain telefon bersama dua rakan baiknya berusia 17 dan 15 tahun memandangkan di dalam rumah tidak menerima capaian internet.

“Azim mengatakan kepada rakannya ingin kencing di kawasan semak kira-kira pukul 10 malam, namun tidak kembali kepada rakan-rakannya setengah jam kemudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Choon Foo berkata, abang mangsa cuba mengesan lokasi adiknya melalui nombor telefon dan di sekitar kawasan remaja itu membuang air kecil pada pukul 10 pagi keesokan hari.

Bagaimanapun, katanya  ketika sampai di tempat yang dikesan iaitu di kawasan pokok besar berhampiran anak sungai, abangnya mendapati Azim tiada di situ sebelum pengesanan melalui telefon hilang jejak.

“Keluarga mangsa telah mendapatkan bantuan daripada penduduk setempat dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi untuk mencari Azim.

 “Berdasarkan keterangan ibu mangsa, Azim merupakan anak yang manja dan tidak pernah keluar jauh dari rumah selain tidak pernah membuat perangai tidak pulang ke rumah,” katanya.