KUALA LUMPUR - Jangkitan kes Covid-19 negara memasuki gelombang baharu yang dicetuskan varian Omicron dengan angka kes melonjak lebihi 10,000.

Justeru, jangkaan untuk kes harian akan terus melonjak sehingga 15,000 tidak mustahil jika langkah-langkah sewajarnya tidak diambil khususnya penerimaan dos penggalak.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, negara kini berada dalam serangan Omicron boleh mencetuskan kebimbangan.

Katanya, terdapat kira-kira satu juta warga emas yang belum mendapatkan dos penggalak, sekali gus berisiko mendapatkan komplikasi serius jika dijangkiti Covid-19.

"Sehubungan itu, saya menggesa orang ramai segera memaklumkan pada golongan warga emas dalam keluarga masing-masing untuk mendapatkan dos penggalak.

"Ia bagi melindungi golongan itu daripada kesan buruk Omicron.

"Kita sudah sepenuhnya dalam gelombang Omicron. Kes akan mencecah 15,000 tidak lama lagi," katanya dalam sidang akhbar khas semalam.

Mengulas lanjut kata Khairy Jamaluddin, semua klinik kesihatan kini bersedia untuk menerima kedatangan pesakit Covid-19 yang tinggi.

Ujar Khairy Jamaluddin, ketika ini terdapat 370 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di klinik kesihatan dan komuniti yang sedang beroperasi untuk membuat
penilaian pesakit positif Covid-19.

Katanya, CAC berfungsi dalam mengenalpasti pesakit yang memenuhi kriteria untuk dipantau di rumah serta menilai perkembangan mereka sepanjang tempoh pengasingan.