KUALA LUMPUR - Bermula hari ini, tiada lagi pertukaran status pada aplikasi MySejahtera bagi individu yang dikesan menjadi kontak kasual pada kes positif Covid-19.

Aplikasi MySejahtera sebelum ini yang mengesan individu terdedah kepada kes positif Covid-19 akan menukar status mereka kepada kontak kasual berwarna kuning.

"Bermula hari ini, status risiko anda tidak lagi akan bertukar namun anda yang dikesan terdedah kepada kes Covid-19 sebagai kontak kasual akan menerima notifikasi menerusi aplikasi MySejahtera.

"Sekiranya anda menunjukkan gejala, sila lakukan pengasingan dan membuat ujian saringan segera," ujar Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata demikian menerusi satu ciapan di laman Twitter hari ini.

Khairy Jamaluddin menerusi ciapan sama turut berkongsi beberapa tangkap layar aplikasi MySejahtera yang memaparkan notifikasi pengesanan MySejahtera.

"Sistem pengesanan kontak automatik MySejahtera telah mengenalpasti anda sebagai kontak kasual. Jika anda menunjukkan sebarang gejala sila lakukan ujian kendiri.

"Tiada sebarang sekatan dikenakan ke atas anda namun sila sentiasa patuhi prosedur operasi standard (SOP). Kekal selamat," papar notifikasi tersebut," ujarnya.