PUTRAJAYA - Demi keselamatan bakal haji, kerajaan Malaysia membuat keputusan untuk menangguhkan penghantaran jemaah ke Makkah. 

Penangguhan itu dibuat berikutan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia sejak akhir tahun lalu. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keutamaan kesan kesihatan kepada penduduk negara ini.

"Susulan itu, saya ingin mengumumkan kepada semua rakyat Malaysia bahawa musim haji 1441H ditangguhkan ke tahun hadapan.

"Tabung Haji akan mengeluarkan kenyataan dan soalan lazim berkaitan penangguhan haji ini dalam masa terdekat," katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, jumlah kuota jemaah haji akan bergantung kepada perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi selepas musim haji tahun ini.

Mengikut rekod, jangkitan Covid-19 di Arab Saudi mencecah melebihi 100,000 kes antara penyebab kerajaan Malaysia membuat pertimbangan sama ada untuk membenarkan jemaah ke Makkah atau sebaliknya.