AMERIKA SYARIKAT - Jumlah kematian akibat virus Covid-19 di seluruh dunia terus meningkat sebanyak 3,847 kes dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Menurut data Johns Hopkins University, jumlah kumulatif kematian global kini mencecah angka setengah juta iaitu 463,019.

Media The Guardian melaporkan, Amerika Syarikat kekal negara yang merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 121,407 kes.

Brazil dan United Kingdom berada di kedudukan kedua dan ketiga dengan masing-masing merekodkan 49,090 dan 42,461 kes korban pandemik tersebut.

Kes kematian di Itali akibat virus berkenaan pula melebihi 34,561 kes.

Sementara itu, Perancis dan Sepanyol masing-masing mencatatkan 29,617 dan 28,313 kes maut.

Negara lain masih mencatatkan angka korban di bawah 20,000 kes.

Kes Covid-19 paling sedikit ialah di Curacao, iaitu sebuah negeri pulau yang terletak di selatan Kepulauan Carribean.

Sementara itu, jumlah pesakit yang telah sembuh daripada virus itu meningkat kepada lebih 4.23 juta orang setakat ini.