IPOH - Bahasa Melayu bergema dalam dewan utama bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disampaikan dalam bahasa kebangsaan.

Tepat pukul 5 petang waktu tempatan pada 23 September (Jumaat), Perdana Menteri menyampaikan ucapannya itu pada hari keempat Perhimpunan Agung PBB UNGA ke-77 di New York.

Ini juga merupakan julung-julung kalinya Perdana Menteri Malaysia berucap dalam bahasa Melayu. selepas 65 tahun negara diterima sebagai anggota PBB pada 17 September 1957.

Penampilan Perdana Menteri berpakaian baju Melayu berwarna hitam, bersongkok lengkap dengan kain sampin turut mencuri perhatian para peserta lain dalam dewan tersebut.

Sebenarnya tidak keterlaluan untuk kita memuji apa yang ditampilkan beliau apabila memartabatkan bahasa Melayu pada pentas dunia dengan berpakaian kebangsaan.

Lebih menarik ketika giliran beliau berucap sesi itu dipengerusikan oleh Wakil Tetap Malaysia di PBB, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, juga memakai pakai baju Melayu.

Ucapan Perdana Menteri dialih bahasa serentak pada bahasa Inggeris oleh pentejermah.

Selain Malaysia, beberapa negara lain menyampaikan ucapan dalam bahasa kebangsaan masing-masing.

Sebelum ini, Perdana Menteri menyatakan usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia menjadi dasar kerajaan.

Ia antara satu bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia yang dilancarkan pada. Disember 2021 iaitu diplomasi kebudayaan.

Terdahulu, Perdana Menteri bersama delegasi selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy, New York, Amerika Syarikat pada pukul 4.10 pagi waktu tempatan.

Lawatan kerja beliau bertujuan menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 dan mengadakan beberapa Mesyuarat Dua Hala dengan beberapa pemimpin dunia yang lain.


Sebahagian petikan ucapan Perdana Menteri

"Harga yang perlu dibayar untuk sesebuah peperangan adalah tinggi nilainya. Ini dibuktikan dengan situasi yang dialami oleh Ukraine.

Kesannya bukan sahaja dideritai oleh rakyat dan negara itu, malah turut dirasai dunia. Konflik ini telah mengancam keamanan, keselamatan global, ekonomi dan menggugat sekuriti makanan.

Malaysia mengalu-alukan pewujudan koridor laluan laut yang membolehkan penghantaran bijirin dari Ukraine. Ini merupakan satu langkah positif dalam menangani masalah sekuriti makanan.

Dalam hal ini, Malaysia ingin mengulangi ketegasan agar semua negara, terutamanya kuasa-kuasa besar, supaya mengelak daripada mewujudkan blok pengasingan, yang hanya akan mendorong dunia ke kancah perang dingin. Dunia perlu sedar keamanan hanya boleh dicapai melalui dialog dan rundingan.

"Malaysia kecewa dengan situasi di Myanmar sejak tercetusnya rampasan kuasa pada bulan Februari 2021.

Amat mendukacita, Majlis Keselamatan tidak mengambil sebarang tindakan serius dalam menangani situasi ini dan dilihat sebagai melepas tangan serta menyerahkannya kepada ASEAN.

Malaysia kecewa tiada kemajuan bermakna dalam pelaksanaan ‘Kesepakatan Lima Perkara’ ASEAN terutamanya oleh pihak junta Myanmar dan ia tidak boleh diteruskan dalam acuan sekarang.

Justeru, kesepakatan ini perlu diberi nafas baharu dan diperhalusi berdasarkan rangka kerja, jangka masa dan matlamat akhir yang lebih jelas.

Krisis politik di Myanmar juga telah memburukkan lagi keadaan berjuta-juta pelarian Myanmar termasuklah pelarian etnik Rohingya dan Malaysia menerima hampir 200,000 pelarian Rohingya, meskipun bukan peserta Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967.

Semua negara perlu turut mengambil lebih ramai pelarian bagi ditempatkan di negara masing-masing dan punca utama krisis Rohingya perlu ditangani dunia.