Semua murid sekolah dapat BAP
- Details
- Sheqal Danish
- Nasional
- Hits: 615
KUALA LUMPUR – Kira-kira lima juta pelajar layak menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 tahun melibatkan peruntukan sebanyak RM 825 juta.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan berkenaan juga akan dinikmati semua pelajar tanpa mengira sebarang had pendapatan ibu bapa.
"Kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar makanan bermasak Rancangan Makanan Tambahan (RMT) daripada RM2.50 kepada RM3.50 bagi Semenanjung.
"Bagi Sabah Sarawak pula, peruntukan RMT naik RM3 kepada RM4," ujarnya.
Ini akan memberi manfaat kira-kira 800,000 murid dengan jumlah keseluruhan RM77 juta bermula bulan ini.
Sementara itu, seramai dua juta belia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa berusia 21 tahun ke atas bakal menerima manfaat program kredit e-dompet dan e-Pemula.
Jumlah kreditnya akan dinaikkan kepada RM200 bermula pada tahun hadapan.
“Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Inisiatif e-Pemula pada tahun ini telah menawarkan kredit e-dompet berjumlah RM150 kepada golongan belia.
“Atas komitmen Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) untuk menambah baik program ini, e-Pemula akan diteruskan dengan menaikkan jumlah kredit kepada RM200 untuk manfaat dua juta belia berusia 18 hingga 20 tahun.
“Program ini juga memberi manfaat kepada pelajar sepenuh masa dengan peruntukan RM400 juta,” jelasnya.