KUALA LUMPUR – Jumlah mereka yang menganggur di negara ini menurut angka pada Mei lalu naik kepada 5.3 peratus iaitu bertambah 0.3 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Menurut Jabatan Perangkaan, dianggarkan seramai 826,100 tidak mempunyai pekerjaan bulan lalu.

“Kadar pengangguran Mei 2020 terus meningkat 0.3 mata peratus dari bulan ke bulan kepada 5.3 peratus selepas mencatatkan 5.0 peratus pada April 2020.

“Pada tempoh yang sama, bilangan penganggur turut meningkat sebanyak 47.3 ribu kepada 826.1 ribu orang berbanding 778.8 ribu orang,” kata Ketua Perangkaan Malaysia, Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan, di sini.

Mengikut perbandingan tahun ke tahun, bilangan penganggur dikatakan meningkat sebanyak 306.3 ribu orang.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19 bermula 18 Mac lalu menyaksikan jumlah penganggur pada bulan itu meningkat 17.1 peratus kepada 610,500 orang berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sektor berkaitan pelancongan dan kepenggunaan adalah yang paling terjejas terutamanya dalam tempoh dua minggu terakhir bulan Mac iaitu sewaktu PKP mula dilaksanakan.