PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa bimbang terhadap kewujudan 13 kluster baharu penularan wabak Covid-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ini termasuk kluster restoran di Brickfields, Kuala Lumpur, kluster Stutong (Sarawak) dan kluster berpunca daripada mereka yang kembali dari luar negara.

Sehubungan itu, Muhyiddin menasihatkan orang ramai supaya tidak lalai dan alpa, kerana pandemik Covid-19 belum berakhir.

"Walaupun angka (kes baharu) kekal rendah tapi saya bimbang dengan kewujudan 13 kluster baru sepanjang tempoh PKPP.

"Lebih membimbangkan saya, kes positif kembali mencatatkan dua digit sejak beberapa hari lalu," katanya dalam perutusan khas PKPP di sini, hari ini.

Katanya, beliau percaya jika rakyat memainkan peranan masing-masing, PKPP dapat dilalui dengan jaya.

Tambahan pula tegasnya, kebanyakan kes positif Covid-19 kebelakangan ini adalah melibatkan individu yang baru tiba ke negara ini. 

Sehubungan itu, Perdana Menteri mahu penguatkuasaan undang-undang ditingkatkan dengan kadar denda yang lebih berat kepada mereka yang ingkar dan melanggar peraturan.

Ini termasuk menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam.