PUTRAJAYA - Semua warga asing dan rakyat negara ini yang menjalani perintah kuarantin wajib di stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan perlu menanggung sepenuhnya perbelanjaan termasuk kos ujian saringan Covid-19. 

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah anggaran kos yang terlibat bagi setiap individu yang dikuarantin wajib selama dua minggu ini adalah kira-kira RM4,700.

Menurutnya, bagaimanapun bagi rakyat Malaysia, mereka hanya perlu membayar maksimum RM2,100 atau sebanyak 44 peratus untuk caj bilik hotel dan makan sebanyak tiga kali sehari.

“Kerajaan pula menanggung baki kos RM2,600 atau 55 peratus termasuk kos pengangkutan, makan minum serta peralatan perlindungan diri (PPE) petugas kesihatan, keselamatan dan sekretariat serta kos pembersihan dan sanitasi.

“Sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 1,631 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di sembilan stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mereka telah pulang dari 22 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India dan UAE.

Turut kembali ialah mereka dari Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, UK, Belanda dan Australia.

Dalam pada itu, sehingga semalam pihak polis telah melakukan 1,776 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

Pemantauan tersebut dilakukan bersama petugas Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi.