IPOH - Kerajaan masih belum menetapkan sebarang polisi bagi kemasukan semula pekerja asing ke negara ini susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, setakat ini terdapat 40,000 permintaan daripada syarikat-syarikat khususnya di sektor perladangan yang meminta supaya pekerja asing dapat dibawa masuk semula ke Malaysia untuk bekerja di sektor berkenaan. 

Menurutnya, pelbagai sudut perlu diperhalusi terutamanya dari segi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan Covid-19 daripada terus berleluasa. 

“Kalau kita ingin benarkan mereka masuk, kita kena lihat dari sudut siapa yang akan bayar ujian Covid-19, kuarantin 14 hari di mana, kemudiannya apabila sudah selesai dan mereka ini bebas, adakah majikan menyediakan pusat perumahan yang mencukupi.

“Selepas dipastikan kesemuanya, mereka boleh mengikut SOP ditetapkan, saya pun rasa tak salah untuk membenarkan mereka ( pekerja asing) masuk. Bagaimanapun, buat masa ini, polisi itu masih belum lagi dibenarkan kerajaan,” jelasnya. 

Sebelum ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Malaysia kekurangan kira-kira 500,000 pekerja sektor perladangan komoditi.

Katanya, setakat ini, terdapat 220,000 pekerja tempatan serta 265,397 pekerja warga asing yang berdaftar dalam sektor berkenaan dan jumlah itu tidak memadai memandangkan Malaysia mempunyai 7.14 juta hektar tanah ladang yang memerlukan satu juta pekerja.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin (PMP) di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini. 

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Dalam perkembangan lain, Hamzah menyelar tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan menggunakan platform PMP untuk berkempen memandangkan ura-ura pilihan raya umum (PRU) dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.

 “Program yang diadakan ini bertujuan untuk mengetahui dengan lebih jelas apa kekurangan yang ada (dalam kalangan rakyat) supaya kerajaan boleh berikan bantuan berdasarkan permintaan rakyat itu sendiri.

 “Apabila saya turun padang, soalan-soalan akan dicatit dan kemudiannya dibawa ke dalam kabinet untuk perhatian.

“Bukan saya sahaja yang jawab (soalan daripada rakyat) semua menteri dan timbalan menteri (melakukan perkara sama) dan ini adalah polisi kerajaan sebagai usaha untuk membantu rakyat.

“Tapi kalau perkara itu (soalan yang dikemukakan rakyat) telah disediakan (sudah mempunyai jalan penyelesaian) dalam kerajaan maka saya jawab seperti apa yang saya lakukan,” jelasnya.