PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini mengumumkan sekatan tambahan dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi mengekang penularan Covid-19 di seluruh negara berkuat kuasa Selasa depan. 

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan bekerja dari rumah (BDR) akan dilaksanakan membabitkan enam juta pekerja di seluruh negara yang meliputi 80 peratus kakitangan awam (750,000 pekerja) dan 40 peratus di pekerja sektor swasta. 
 
Beliau berkata, waktu operasi perniagaan juga dihadkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam. 
 
"Antara perniagaan yang terlibat adalah pusat beli-belah, kedai serbaneka, gerai, dobi, kedai gunting rambut, premis makanan dan stesen minyak (kecuali di lebuh raya yang dibenarkan operasi 24 jam). 
 
"Bagaimanapun, farmasi dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 10 malam manakala pasar malam pula bermula dari 4 petang hingga 8 malam," katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini hari ini.
 
Sementara itu, bagi perkhidmatan pengangkutan awam Ismail berkata, hanya 50 peratus kapasiti kenderaan sahaja dibenarkan.