IPOH – Tindakan mahkamah perlu dikenakan pada pemilik akaun Instagram yang dikenali sebagai ‘safieyillias94’ atas perbuatan melakukan komunikasi yang tidak senonoh bersama kanak-kanak di bawah umur.

Ini kerana pelakuan pemilik akaun tersebut bukan sahaja mencemarkan tatasusila masyarakat, malah mendatangkan kemarahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Exco Srikandi Bersatu Kebangsaan, Norhaslinda Zakaria berkata, perbuatan pemilik akaun Instagram terbabit yang memaparkan perbuatan negatif amatlah tidak wajar selain telah ditonton oleh ribuan pelayar.

Menurut beliau yang juga Ketua Srikandi Lumut, tindakan mahkamah perlu untuk dijadikan pengajaran dan iktibar kepada semua yang mempamerkan pelakuan tidak senonoh pada media sosial apatah lagi melibatkan penonton kanak-kanak.

“Srikandi Bersatu Lumut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak polis yang bertindak pantas menahan individu tersebut.

“Penularan rakaman individu dipercayai usahawan kosmetik ini adalah melampau dan biadap apabila berkelakuan tidak sopan termasuk membincangkan isu seksual bersama kanak-kanak.

“Kita menuntut agar tindakan diambil mengikut Akta 792 iaitu Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 di mana jika disiasat kesalahan itu membawa hukuman penjara dan sebatan,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.

Polis mengesahkan pemilik akaun Instagram (IG) ‘safieyillias94’ yang juga pengasas produk kosmetik, Safiey Ilias sudah ditahan di sekitar daerah Kajang petang semalam.

Individu tersebut ditahan bagi membantu siasatan berhubung Video Live membuat komunikasi lucah dan amang seksual dengan kanak-kanak di bawah umur awal pagi kelmarin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 (1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.