KUALA LUMPUR – Kerajaan Arab Saudi memutuskan ibadat haji pada tahun ini hanya dibenarkan pada warganegara itu Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada di sana dalam tempoh yang dibenarkan sahaja.

Perkara tersebut diumumkan menerusi kenyataan media rasmi negara itu, Saudi Press Agency sepertimana diumumkan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Abdelfattah Sulaiman Mashat.

Pada musim haji tahun lalu, hanya kira-kira 1,000 jemaah yang telah menetap di Arab Saudi dibenarkan untuk mengerjakan ibadah tersebut.

Musim haji tahun ini berlangsung pada pertengahan Julai depan dengan anggaran hanya 60,000 jemaah sahaja dibenarkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dengan had umur jemaah antara 18 hingga 65 tahun.

Antara syarat lain jemaah hendaklah telah menerima vaksin serta disahkan bebas daripada dijangkiti wabak tersebut dalam tempoh enam bulan.

Susulan pengumuman ini, kerajaan Malaysia memutuskan tiada jemaah haji bagi Musim Haji 1442H sebagai akur serta menghormati keputusan Kerajaan Arab Saudi itu.

Bagaimanapun, kerajaan menerusi Tabung Haji akan memastikan segala urusan rakyat Malaysia yang telah berada di sana dan terpilih untuk melaksanakan ibadah Haji diuruskan dengan selaras dengan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan negara itu.

Indonesia sebelum ini membatalkan penghantaran jemaah haji negara itu.

Antara sebab keputusan itu diambil ialah pemimpin republik itu bertanggungjawab untuk melindungi penduduknya daripada pandemik Covid-19 yang masih melanda dunia ketika ini.

Keputusan tersebut juga dibuat selepas mempertimbangkan keputusan pihak berkuasa Arab Saudi yang belum menjemput kerajaan Indonesia berkenaan pelaksanaan ibadah haji.