PUTRAJAYA - Semua peminjam dan inidividu sama ada daripada golongan B40, M40 atau T20 dan usahawan mikro akan diberikan moratorium enam bulan dengan syarat ianya perlu dimohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank.

“Peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan.

“Saya harap inisiatif moratorium ini sedikit sebanyak dapat membantu semua individu dan peminjam PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh yang mencabar ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, bagi meringankan beban rakyat juga, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra bagi meringankan beban ahli KWSP.

Menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli.

“Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.

 

Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai ini, dengan pembayaran pertama dijangka dikreditkan dalam akaun ahli pada Ogos 2021,” kata Perdana Menteri.

Bagi petugas kesihatan barisan hadapan pula, kerajaan akan menyelaras kadar pembayaran elaun khas mereka yang terbabit dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) daripada RM200 kepada RM600.

Mengumumkan berita gembira ini, kata Muhyiddin, elaun tersebut membabitkan kira-kira 14,0000 petugas dan bayaran tersebut akan dibuat bermula Julai ini untuk tempoh selama enam bulan.

“Peruntukan ini merupakan pengiktirafan berterusan kepada jasa dan sumbangan petugas barisan hadapan kesihatan kita yang masih terus berjuang demi bangsa negara yang tercinta,” katanya.