PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi terkini kes Covid-19 di kilang Latexx Manufacturing Sdn Bhd dan asrama pekerja Latexx Village, Taiping, Perak.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berlaku peningkatan kes dalam tempoh singkat apabila sebanyak 237 kes positif telah direkodkan selepas KKM melakukan 795 saringan di lokaliti tersebut.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kilang dan asrama pekerja tersebut berkuat kuasa 3 Julai sehingga 16 Julai.

“Pelaksanaan PKPD bertujuan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” katanya dalam satu kenyatan di sini hari ini.

KKM juga kata Ismail Sabri mendapati, berlaku peningkatan kes dalam tempoh singkat apabila sebanyak 213 kes positif telah direkodkan selepas KKM melakukan 561 saringan di asrama pekerja kilang Latexx 3 di Jalan IKA Industri Kamunting Aman.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di asrama tersebut berkuatkuasa pada tarikh sama.” ujar beliau.