PUTRAJAYA - Individu yang masuk ke Malaysia dari luar negara akan dikenakan caj kuarantin hotel mulai 1 Jun ini. 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, keputusan itu dibuat pada sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

Menurutnya, kerajaan tidak lagi menanggung sepenuhnya caj tersebut seperti yang telah dilakukan sebelum ini. 

"Warganegara Malaysia diminta membayar 50 peratus daripada kadar penuh hotel iaitu RM150 yang dikenakan, manakala bukan warganegara termasuk pemastautin tetap akan dikenakan caj hotel sepenuhnya.

"MKN juga membuat keputusan mewajibkan semua yang ingin pulang ke Malaysia menandatangani surat setuju pembayaran 50 peratus bagi warganegara dan 100 peratus bagi bukan warganegara.

"Surat setuju pembayaran itu akan dibuat melalui pejabat Kedutaan Malaysia yang terdekat,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini. 

Sehingga kini seramai 38,371 rakyat Malaysia pulang dari luar negara dikuarantin wajib sejak 3 April lalu, daripada jumlah itu 30,200 selesai menjalani kuarantin dan dibenar pulang di mana kosnya ditanggung kerajaan.