PUTRAJAYA - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan meneliti sama ada pengendali helikopter yang mendarat di padang Majlis Bandaraya Ipoh, Perak semalam terlibat melaksanakan operasi penerbangan itu dalam skop yang diluluskan atau sebaliknya.

Itu antara aspek siasatan yang telah dimulakan CAAM ke atas helikopter jenis Bell 505 yang dikendalikan pihak Systematic Aviation Services Sdn. Bhd. (SAS) itu.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Chester Voo berkata, siasatan awal mendapati helikopter tersebut berlepas kira-kira pukul 9.08 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang ke Ipoh dan kembali ke Subang pukul 11.02 pagi, seperti difailkan dalam pelan penerbangan.

Beliau berkata, CAAM telah menjalankan siasatan segera bagi menentukan sama ada helikopter berkenaan melanggar mana-mana peraturan seperti yang tertakluk dalam Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 dan Civil Aviation Directives (CADs).

“Kami ingin menegaskan bahawa semua pengendali pesawat harus mematuhi peraturan  umum seperti tertakluk dalam CAD 2 (Rules of the Air), Chapter 3.1. Protection of Persons and Property serta peraturan-peraturan lain yang berkaitan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, pihaknya akan terus memastikan semua pengendali pesawat mematuhi peraturan dan piawaian keselamatan yang telah ditetapkan demi keselamatan industri dan orang awam.

Media semalam melaporkan, orang awam terkejut dengan kemunculan helikopter mendarat di Padang Ipoh dipercayai bagi mengambil tempahan nasi kandar dari sebuah restoran terkemuka di Ipoh.

Terdapat dua individu dalam helikopter berkenaan dipercayai milik syarikat swasta itu untuk mengambil tempahan nasi kandar yang dikenali sebagai nasi ganja.

Difahamkan, helikopter itu mendarat di padang itu bagi mengambil 36 bungkusan nasi ganja yang ditempah oleh pelanggan dari Kuala Lumpur.