KUALA LUMPUR - Kerajaan memutuskan untuk tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah mengisytiharkan Proklamasi Darurat baharu apabila ia tamat pada 1 Ogos.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat semasa sesi pagi tadi.

Takiyuddin juga memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan membatalkan semua Ordinan Darurat yang dibuat semasa darurat diisytiharkan.

“Oleh kerana telah dibatalkan, maka isu ungkai ataupun ‘annulment’ sudah tidak lagi relevan,” katanya kepada para wakil rakyat.

Beliau menjawab hujahan Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang merayu kepada Speaker Azhar Azizan Harun supaya mempertimbangkan semula penolakan usulnya.

Ngeh berharap usulnya dapat dibentangkan di Dewan Rakyat kerana ia bukan hanya untuk membatalkan Ordinan Darurat, tetapi membawa ordinan itu sebagai rang undang-undang biasa untuk dipertimbangkan sama ada untuk menerimanya secara keseluruhan, sebahagian, atau ditolak.