PUTRAJAYA – Harga runcit maksimum bagi barangan harga terkawal minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol 5 kilogram (kg) ditetapkan pada harga RM29.70 sebotol berkuat kuasa 1 Ogos depan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, harga minyak masak sawit dalam kemasan botol 3kg pula ditetapkan pada harga RM18.70, 2kg (RM12.70) dan 1kg (RM6.70)

“Dengan pelaksanaan harga kawalan untuk minyak masak tulen ini, pengguna-pengguna adalah dijamin untuk mendapatkan minyak masak tersebut dibawah harga RM30 untuk 5kg dan juga pada lain-lain kuantiti tanpa mengira kepada kedudukan harga sawit semasa,” kata kenyataan itu di sini.

Pada 26 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa bagi menangani isu kenaikan harga minyak masak botol 5kg, harga kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah ditetapkan tidak melebihi RM30 sebotol.

Kata Perdana Menteri, kerajaan juga memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM1 bilion bagi memastikan bekalan minyak masak pek polibeg 1kg terjamin.

“Melalui tambahan peruntukan ini, rakyat masih dapat membeli minyak masak pek polibeg 1kg pada harga bersubsidi RM2.50,” katanya ketika membentangkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Media pada 17 Jun lalu melaporkan bahawa kerajaan akan mengumumkan harga baharu bagi minyak masak botol lima kilogram dan dua kilogram pada masa terdekat.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid dipetik berkata, harga baharu itu hasil perbincangan antara kementeriannya dan tiga kementerian lain.

Ia susulan beberapa laporan akhbar tempatan menyiarkan rungutan kenaikan harga minyak masak lima kilogram yang mencecah sehingga RM35 setiap botol.